Wednesday, March 16, 2011

Angin Pasang..

ANDA perasan, ada benjolan sebesar telur puyuh di celah kelangkang. Benjolan itu timbul semasa anda batuk, bersin, berdiri, berjalan, berlari atau melakukan aktiviti fizikal lain.
Namun, ia tidak kelihatan seolah-olah bersembunyi dan menghilangkan dirinya apabila anda berbaring mahupun terjaga dari tidur pada waktu pagi keesokan harinya.
Lazimnya, ia tidak mendatangkan apa-apa kesakitan, cuma rasa agak kurang selesa, malah ada benjolan yang masuk semula dengan sendirinya.
Kanak-kanak mempamerkan simptom klasik – kelihatan resah gelisah dan sering menangis sambil teriakannya diiringi dengan benjolan tenggelam timbul, selalunya pada bahagian pusat.
Benjolan itu makin ketara apabila si comel menggeliatkan tubuhnya. Perutnya pula kelihatan kembung. Benjolan yang ditolak secara lembut agar memasuki dinding otot semula biasanya berjaya memulihkan keadaan.
Jika gagal, segeralah berjumpa doktor kerana dibimbangi isi hernia terjerut sehingga menyebabkan gangguan peredaran darah yang boleh mengancam nyawa bayi anda terutamanya jika benjolan menjadi keras dan bayi (khususnya enam bulan ke bawah) mengalami muntah-muntah.
Anda mungkin pernah mendengar orang tua-tua bercakap tentang angin pasang, uluran dan burut. Inilah dia. Pakar-pakar perubatan pula memanggilnya sebagai hernia.
Walaupun namanya boleh sahaja membayangkan seorang perawan dengan rupa paras yang menarik, hakikatnya lebih ramai lelaki yang menghidapi hernia, 1:10.
Pakar Pembedahan dan Endolaparoskopi, Hospital Pakar Putra (Batu Pahat), Johor, Dr. Chan Kin Yoong berkata, hernia merupakan satu lubang atau kelemahan otot pada bahagian badan hingga mengakibatkan kandungan dalaman badan menonjol keluar.
‘‘Kecacatan otot di badan boleh terjadi sejak kelahiran, dikenali sebagai hernia kongenital manakala jenis acquired melibatkan kerosakan otot badan disebabkan oleh kecederaan, pembedahan atau tekanan dalam badan berpunca daripada batuk berkali-kali, angkat berat, sembelit dan sukar membuang air kecil.
‘‘Bahagian badan menonjol keluar apabila seseorang itu mengemut atau berdiri. Kalau komplikasi terjadi, perut akan mengembung, sakit, muntah dan tidak boleh buang air besar,’’ ujar beliau.
Nama penyakit ini berasal dari bahasa Latin, herniae, yang bererti penonjolan isi suatu rongga melalui tisu nipis yang lemah pada dinding rongga itu.
Dinding rongga yang lemah itu membentuk suatu kantung dengan pintu berupa cincin. Gangguan ini sering terjadi di bahagian perut dengan isi yang keluar berupa bahagian dari usus,
Menurutnya, umum beranggapan bahawa hernia merupakan gangguan kesihatan yang hanya terjadi di kalangan individu yang telah lanjut usia. Padahal, ia juga boleh terjadi pada kanak-kanak dan lebih sering dialami kaum Adam berbanding Hawa.
‘‘Ini terjadi kerana adanya perbezaan proses perkembangan alat reproduksi lelaki dan wanita semasa janin.
‘‘Pada janin lelaki, testis (buah zakar) turun dari rongga perut menuju skrotum (kantung kemaluan) pada bulan ketujuh hingga kelapan usia kehamilan.
‘‘Lubang yang berupa saluran itu akan tertutup menjelang kelahiran atau sebelum anak mencapai usia setahun. Ketika dewasa, bahagian itu dapat menjadi titik lemah yang berpotensi mengalami hernia,’’ kata Dr. Chan.
Pesakit sering mengeluh adanya benjolan yang tidak menyakitkan namun cukup mengganggu, bergantung berapa besar penonjolannya. Penonjolan muncul kerana adanya kelemahan anatomi pada otot dinding perut, menyebabkan penonjolan di tempat yang lemah.
Keadaan menjadi lebih parah apabila ada dorongan akibat peningkatan tekanan di dalam rongga perut. Misalnya, akibat meneran ketika buang air, batuk, bersin atau mengangkat bebanan berat.
Pada bayi dan anak-anak, hernia merupakan keadaan bawaan sejak lahir (kongenital) dan berisi cairan dan tidak semestinya hernia inguinal yang berisi bahagian usus.
Mengulas lanjut, katanya, hernia pada kanak-kanak terjadi oleh kerana hubungan antara rongga perut dan kantung kemaluan, yang merupakan tempat testis bergerak turun dari rongga perut ke kantung kemaluan ketika bayi masih dalam kandungan.
Pada orang dewasa, hernia terjadi disebabkan dua faktor utama.
‘‘Pertama, adanya otot dinding rongga, misalnya perut yang lemah. Kedua, dorongan yang menyebabkan tekanan di dalam rongga perut meningkat. Biasanya hernia pada orang dewasa ini terjadi pada usia lanjut kerana pada umur tua otot dinding rongga perut melemah.
‘‘Seiring pertambahan usia, organ dan tisu tubuh mengalami proses kemerosotan. Pada wanita, kegemukan juga dapat memungkinkan timbulnya bahagian yang lemah.
‘‘Keadaan-keadaan tersebut, jika ditambah dengan faktor kedua tadi, dapat mengakibatkan usus terdorong ke dalam bahagian yang lemah tadi lalu menonjol ke luar,’’ jelasnya.
Kebiasaan merokok, penyakit yang mengenai tisu dan diabetes melitus juga dapat mempengaruhi timbulnya hernia. Ketiga-tiganya mempunyai kaitan dengan gangguan metabolisme pada tisu.
Dalam kes hernia ringan, bahagian usus yang keluar dapat masuk kembali ke rongga perut jika pesakit berbaring atau didorong sendiri oleh pesakit.
Berita buruknya apabila hernia sudah masuk ke tahap takterturunkan. Pada peringkat ini, isi hernia yang keluar tidak boleh masuk kembali meskipun ditolak dari luar.
Terang Dr. Chan: ‘‘Kita juga perlu waspada jika cincin hernia berdiameter kecil. Bila sudah ada usus yang keluar ditambah tekanan rongga perut yang meningkat, bahagian usus dapat keluar lebih banyak.
‘‘Jika berterusan begitu tanpa rawatan, ia boleh menjadi hernia inkarserat. Bahagian usus yang terjulur keluar tidak dapat kembali ke tempat asalnya.
“Atau menjadi hernia tercekik kerana usus yang terkeluar tadi dapat mengalami pembusukan dan mati akibat tidak mendapat bekalan darah (gangren).’’
*Rawatan
Hernia pada orang dewasa seelok-eloknya ditangani seawal mungkin. Bila didiamkan dan bertambah parah, nyawa mampu menjadi taruhannya.
‘‘Terapinya tak ada jalan lain, kecuali pembedahan,’’ tegas Dr. Chan. Tidak ada ubat yang dapat menyembuhkan kerana puncanya melibatkan keadaan anatomi yang melemah atau mengalami kelainan.
Pembedahan untuk menangani hernia ini merupakan yang kedua paling kerap selepas operasi apendiks.
Di kalangan orang dewasa, pembedahan dilakukan untuk menutup lubang dan memperkuatkan bahagian yang lemah. Otot perut dirapatkan menutupi lubang yang ada.
Pada zaman dahulu, pembedahan dilakukan dengan menempatkan pesakit dalam posisi kepala di bawah agar isi hernia masuk kembali ke rongga perut oleh graviti bumi.
‘‘Pembedahan tidak harus segera kecuali bagi hernia inkarserat dan tercekik, ia harus segera dilakukan. Jika tidak, bahagian isi hernia yang terjerut boleh membusuk dan menjadi sumber infeksi ke seluruh dinding usus (peritonitis). Akibat yang lebih buruk adalah kematian,’’ katanya.
Setelah operasi, ada sesetengah pesakit mengadu bahagian yang dibedah seperti tertarik dan berasa nyeri (sakit seperti ditusuk jarum).
Untuk mengatasi keluhan tadi, kini tersedia jala sintetis yang dikenal dengan mesh.
Selain pembedahan konvensional, kini terdapat rawatan menggunakan teknik bedah laparoskopi yang menawarkan beberapa kelebihan, antara lain, luka surgeri yang kecil sehingga mempengaruhi penyembuhan yang lebih cepat.
‘‘Pada kanak-kanak yang belum mencapai usia satu tahun, biasanya pembedahan tidak dipertimbangkan kerana lubang diharap akan tertutup sendiri selaras tumbesarannya.
‘‘Namun, jika setelah berusia setahun lubang masih terbuka, doktor akan menganjurkan surgeri kerana kalau dibiarkan, lubang dapat bertambah besar. Ketika anak mulai berjalan dan semakin aktif, lubang tadi dapat terus membesar akibat dorongan terus-menerus.
‘‘Akibatnya, tidak hanya cairan yang keluar, usus pun dapat keluar, sehingga berlanjutan menjadi hernia,’’ ujar Dr. Chan sambil menambah, pada kanak-kanak, tindakan hanya ditujukan untuk menutup lubang.
Terapi tanpa bedah berupa pemakaian penopang hanya bersifat menyokong, sama sekali tidak memperbaiki hernia itu, apalagi menyembuhkannya.
Cara ini diperuntukkan bagi pesakit yang menolak pembedahan atau keadaan yang tidak mengizinkannya untuk dibedah.
Namun, untuk penderita yang menolak pembedahan, keadaan penyakitnya boleh memasuki tahap lanjut dan akhirnya tetap memerlukan pembedahan.
Malangnya, pada keadaan ini, surgeri akan menjadi lebih sukar, apalagi kalau sampai isi hernia tidak boleh dimasukkan kembali atau membusuk.

Elakkan hernia berulang

PESAKIT hernia boleh mengalami penyakit itu semula dalam masa beberapa bulan atau setahun selepas dibedah. Hal ini mungkin akibat pembedahan yang dilakukan.
Namun, bila ia terjadi setelah dua tahun atau lebih, nampaknya terjadi kelemahan fascia (tisu perantara yang membentuk sarung bagi otot-otot dan lapisan perlindungan yang mengelilingi organ lembut ataupun mudah tercedera tepat di bawah kulit) yang progresif.
‘‘Hati-hati bila hernia berulang. Kemungkinan besar hernia berkembang menjadi hernia inkarserat dan terjerut.
‘‘Untuk mencegahnya, pesakit harus menghindari hal-hal yang dapat meningkatkan tekanan di dalam rongga perut misalnya batuk dan bersin yang kuat, sembelit, meneran serta mengangkat barang berat,’’ saran beliau.
Misalnya, menghindari batuk-batuk yang berterusan dan berhenti merokok bagi pesakit yang mempunyai tabiat buruk itu. Sekiranya sukar membuang air kecil atau besar, jangan sampai meneran. Sebaliknya segera berubat dan diatasi dulu.
Andai pekerjaan pesakit membabitkan mengangkat beban berat, minta agar diberikan tugasan lain atas alasan perubatan. Pada wanita yang obes, dianjurkan mengurangi berat badannya.
Kesimpulannya, yang penting adalah menangani hernia sejak peringkat awal dan mengambil langkah- langkah pencegahan risiko lanjutan.
Jenis-jenis hernia
Terdapat beberapa jenis hernia yang biasa ditemui. Namanya disesuaikan mengikut tempat kejadiannya pada tubuh. Kebanyakannya berlaku di abdomen.
* Hernia inguinal (pemecahan) paling kerap ditemui di mana penonjolan sak peritoneum yang mengandungi lemak atau sebahagian usus, melalui dinding abdomen bawah (pelipat paha)
* Apabila sebahagian usus menonjol pada bahagian atas paha melalui titik arteri femoral dari abdomen ke paha, ia disebut hernia femoral. Wanita lebih banyak mengalami hernia jenis ini
* Di pusat, hernia umbilikal, paling biasa di kalangan kanak-kanak
* Di sekat rongga badan digelar hernia berdiafragma kongenital, kecacatan sejak lahir yang selalunya memerlukan pembedahan
* Hernia insisional, yang terjadi selepas pembedahan. Ini kerana, pasca pembedahan biasanya kekuatan tisu tidak seratus peratus kembali seperti semula. Bahagian itu kemudiannya menjadi lemah dan boleh mengalami hernia
* Hernia hiatus, satu bukaan kecil pada diafragma (otot nipis bermembran berbentuk kubah yang memisahkan ruang-ruang torasik dan abdomen yang memainkan peranan penting dalam pernafasan) yang menyebabkan bahagian atas perut naik ke atas ke bahagian dada.
* Hernia inkarserat, hernia yang bengkak dan tetap di dalam saknya
* Hernia takterturunkan adalah hernia yang tidak dapat dikembalikan ke tapak normal
* Hernia tercekik merupakan hernia yang terputus daripada bekalan darahnya, menjadi sakit dan akhirnya bergangren
Tip-tip pencegahan
* Kekalkan berat badan ideal yang disesuaikan dengan ketinggian. Berbincanglah dengan doktor atau pakar diet tentang pola makan sihat dan program latihannya jika anda berasa tubuh berlebihan berat
* Jadikan buah-buahan, makanan vegetarian dan makanan yang diperbuat dari beras atau gandum sebagai sebahagian dari diet anda. Makanan ini tidak hanya baik untuk tubuh tetapi juga mengandungi banyak serat yang akan menghindari tubuh daripada mengalami masalah sembelit dan meneran
* Berhati-hatilah ketika mengangkat bebanan yang berat. Jika itu tidak dapat dielakkan, angkatlah dengan cara membengkokkan lutut anda dan bukannya bahagian punggung atau jangan mengangkatnya sama sekali!
* Berjumpalah doktor apabila berasa sakit. Jika mengalami batuk yang lama akibat dingin atau bersin terus-menerus disebabkan alergi, berjumpa doktor untuk merawat batuk dan mengambil ubat alahan. Berhenti merokok. Rokok dapat menyebabkan batuk yang berpanjangan dan hal ini akan menegangkan otot perut.
Soal jawab lazim
Bagaimana mengenal pasti hernia (diagnosis)?
Doktor akan minta anda batuk, mengemut atau berdiri untuk melakukan pemeriksaan fizikal. Bahagian yang menonjol keluar boleh ditekankan masuk dengan tangan.
Pada anak-anak, doktor akan melakukan palpasi dengan cara meraba isi hernia tersebut dengan hujung jarinya, apakah masih boleh dimasukkan kembali ke dalam perut atau tidak. Rawatan yang akan dilakukan bergantung dari pemeriksaan tersebut.
Kenapa hernia patut dibedah?
Semua hernia harus dibedah. Usus boleh menonjol keluar melalui lubang hernia, mengakibatkan usus tersumbat. Pengaliran darah ke usus terganggu dan akhirnya usus bocor dan mati
Bilakah pembedahan patut dilakukan?
Semua hernia patut dibedah awal selepas berjumpa doktor, biasanya dalam masa beberapa hari atau minggu. Bagaimanapun, hernia yang berkomplikasi mesti dibedah secara kecemasan.
Jenis pembedahan yang biasa dilakukan
Kegunaan jaring atau mesh untuk menampal lubang dengan cara pembedahan terbuka atau tebukan laparoskopi
Apa itu pembedahan laparoskopi untuk hernia?
Laparoskopi menggunakan kamera dan peralatan panjang untuk menebuk bahagian badan. Ia boleh menampal tempat hernia yang berlubang dengan mesh atau jaring. Cara baru ini mengurangkan kejadian hernia berulang. Parut dan kesakitan pun kurang.
Adakah jaring atau mesh itu selamat di dalam badan?
Mesh diperbuat daripada sejenis plastik (polypropylene). Ia tidak mengandungi protein. Maka ia tidak mengakibatkan alahan atau penolakan di badan.
Apa yang harus dilakukan jika mesh dijangkiti kuman?
Infeksi mesh jarang berlaku. Biasanya komplikasi ini boleh dirawat dengan antibiotik tanpa pembedahan kedua.
Jenis hernia yang manakah boleh dibedah secara harian (day care)?
Hernia seperti inguinal, umbilikal, femoral atau insisional boleh dibedah secara harian, bermaksud pesakit boleh datang dan balik ke rumah selepas pembedahan pada hari yang sama. Hernia yang besar atau berkomplikasi tidak boleh dibedah secara harian. Hernia yang kecil boleh dibedah dengan bius setempat sahaja.
Bolehkah saya dibedah jika mempunyai masalah perubatan lain?
Kebiasaan pesakit yang ada penyakit seperti jantung, diabetis, tekanan darah tinggi yang terkawal boleh dibedah dengan selamat. Ada sebahagian pesakit perlu diperiksa oleh pakar perubatan dan pakar bius sebelum pembedahan diizinkan.
Berapa lamakah masa diambil untuk sembuh?
Pesakit sembuh dengan cepat dalam masa beberapa hari sahaja. Pesakit boleh menjalankan rutin seharian seperti biasa, tanpa gangguan dengan selamat.
Bilakah saya boleh kembali bekerja?
Kerja-kerja pejabat boleh dimulakan dalam 2-3 hari. Pesakit boleh memandu kereta ke pejabat. Kerja ringan boleh dijalankan dalam 10-14 hari. Kerja berat memerlukan 3-4 minggu rehat.
Bilakah saya boleh mula bersukan?
Tiga hingga empat hari selepas pembedahan, pesakit boleh berjalan pantas, berenang dan joging. Lima hingga tujuh hari selepas pembedahan, pesakit boleh bermain golf, bermain ski dan kasut luncur, boling, bola lisut dan memanjat.
Selepas 10 hingga 12 hari pembedahan, pesakit boleh bermain tenis, berbasikal dan menyertai sukan memanjat gunung bermotosikal. Dua minggu selepas pembedahan, tiada sekatan untuk sukan seperti bola sepak, hoki, angkat berat dan besbol.

No comments:

Post a Comment

Tok Gajah..

Daisypath Friendship tickers

sesi Q&A..

Get widget here

Langsung Atau Tidak Langsung...

Segala nukilan di dalam blog ini adalah milik penuh empunya blog..

Dan saya akui ada juga copy paste dari blog-blog yang lain.. kisah-kisah disini bukanlah luahan rasa empunya blog tetapi hanya sekadar berkongsi rasa..

Kadang-kadang takut disalah erti..
segala kemusykilan boleh email saya

mohdhaniffmohdsani@gmail.com
Powered By Blogger
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...